Salam

Saturday 18 August 2012

SALAM EID FITRI 2012


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Alhamdulillah kita telah selesai menjalani latihan mendidik jiwa kita dalam bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu. 30 hari yang penuh dengan Rahmat dan Barakah Allah itu merupakan Eid (Hari Raya) bagi kita. Mengapa saya katakan ianya adalah Eid ?

Kalimah Eid dari segi bahasanya bermaksud kembali. Oleh itu, Bulan Ramadhan dikira sebagai suatu perayaan kerana kita semua berusaha untuk kembali kepada Allah dan itulah fitrah kita yang sebenarnya.

Kini tibalah Hari Raya Eidil Fitri. Hari kemenangan yang Allah kurniakan pada umat Islam kerana kita telah kembali kepada fitrah. Sebab itu ianya dinamakan Eidil Fitri.

 Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Saya mewakili warga Pusat Pengajian Asasi, Kolej Universiti INSANIAH menghulur sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, kesilapan dan kesalahan kami selama ini. Kami juga ingin mengucapkan

SELAMAT HARI RAYA EIDIL FITRI MAAF ZAHIR BATIN.
MINAL 'AIDIN WAL FAIZIN


Sebelum saya mengakhiri post kali ini, saya ingin berkongsi beberapa nasihat.

Pertama, marilah kita sama-sama meneruskan amalan-amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan seperti menjaga solat berjema'ah, tilawah Qur'an, bersedeqah dan lain-lain. Kita adalah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan. Ada pepatah arab yang berbunyi :

" Kun Rabbaniyyan Wala Takun Ramadhaniyyan "

Jadilah kamu orang yang Rabbani (dekat kepada Allah), Jangan Kamu jadi orang yang Ramadhan 
(dekat kepada Allah pada bulan itu sahaja). 

Ini salah satu hikmah disyariatkan puasa 6 hari di bulan Syawal.

Kedua, Perbanyakkan takbir kepada Allah sebagai lambang kemenangan kita di bulan Ramadhan. Kita berdoa kepada Allah supaya menerima segala amalan kita. Rasulullah s.a.w juga sentiasa mendoakan para Sahabat r.a apabila bertemu dengan ucapan :

" Taqabbalallahu Minna wa Minkum. "

Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu. 

Dan yang terakhir, Sambutlah hari Raya ini dengan penuh kegembiraan tanpa melanggar batas-batas syariat. Elakkan dari hiburan yang melalaikan. Jaga adab-adab ketika bertamu. Insya Allah Allah akan memberi pahala di atas kegembiraan kita ini.

Wallahu 'alam. Semoga kita dapat bertemu dengan tetamu Agung (RAMADHAN) ini pada tahun hadapan.
Jazakumullahu Khairan Kathira.
 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.